Bismillah..
"Rasanya sudah
ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan
cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk
wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan
orang lain untuk berjaya dalam hidup".
"Saya pernah jadi
penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk
menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM
dan bekerja kilang".
"Apabila berjaya
dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat
jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan
perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba
kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang
lain".
Nilai sepuluh sen
Bila sudah berjaya
mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang
dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku
ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat
daripada surah Al-Baqarah.
Sekembalinya saya ke
tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud
ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika
memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.
Saya memang sudah lama
terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40
iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di
dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai
orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia...
Ketika saya mengejar
dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga
RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata
memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa
bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu
menunjuk-nunjuk.
Jika syiling sepuluh
sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu
saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu
lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen
itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu
sahaja.
Saya tidak pandai
mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang
tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi
ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai
majlis ilmu yang dibuat di sini.
Impian saya yang masih
belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks
berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan
kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.
Saya tidak mahu
golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya
tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan.
Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih,
kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.
Satu lagi impian yang
sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim
piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma
tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan
akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.
Kini mula berpurdah
Purdah ini sudah lima
bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya
inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila
mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan
istimewa yang biasa saya dapat.
Saya tidak malu untuk
mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini
kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya
bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk
kecantikan.
“Kau kenalah pakai
baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu
juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya
antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih
bertelanjang’ .
Sebagai majikan pula,
kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya
menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi
majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana
sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi
amalan kepadanya?
Syukurlah, perubahan
yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri,
Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia
wanita ini.
Kini hari-hari saya
lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak,
mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok
herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia
melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.
Sesudah solat Subuh,
tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil
merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur
menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.
Renung-renungkan dan
fikir-fikirkan.
Read more: http://mlmsms2u.blogspot.com/2012/04/kisah-disebalik-jutawan-sendayu-tinggi.html#ixzz1tCOAa7EJ <
No comments:
Post a Comment
Terima kasih..! Jemput komen lagi :)